Saturday, October 14, 2006

 

Menjawab Laporan 'GRO asing hanya untuk pegawai dagang luar negara'

Menjawab laporan ‘GRO asing hanya untuk pegawai dagang luar negara’
(re posting 9 October, 2006:Acceptabe Logic? ‘GRO asing hanya untuk pegawai dagang luar negara’)


Prinsip Rukunegara yang pertama, Kepercayaan Kepada Tuhan, bagi saya memanggil semua rakyat Malaysia untuk menghayati nilai agama masing-masing. Dalam beberapa perkara tiada pertembungan nilai di antara agama-agama. Suatu kebaikan yang jarang sekali diambil kira dalam masyarakat berbilang agama, jauh sekali untuk dipraktikkan oleh dasar yang memuja pembangunan material dan keinginan insan. Dasar ini meletakkan kepentingan mengekalkan kekuasaan dengan apa cara sekalipun, walaupun melawan arus nilai keagamaan yang dianuti di kalangan rakyat. Tersirat di sebalik kekuasaan, segala kemudahan dan autoriti wewenang untuk membuat keputusan-keputusan agar membukitkan segala yang terlarat untuk dikumpul sebagai khazanah dunia.

Tiada agama yang menganjurkan pemuasan nafsu secara rambang. Di era dunia yang dilanda oleh pelbagai penyakit sosial dan fizikal, khususnya AIDS, dasar yang membasmi punca yang akan mengakibatkan segala penyakit tersebut adalah yang diutamakan. Di kalangan mereka, ramai yang berasal dari negara barat, yang telah menyedari hakikat tersebut, memilih menetapkan bahawa pergaulan bebas dan rambang adalah suatu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Ada juga yang sudah berpendapat bahawa abstinence adalah suatu alternatif yang mulia bagi memelihara kemaslahatan umat manusia.

Apabila seorang tetamu hadir di rumah kita, wajarlah mereka dilayan dengan mesra dan baik. Sedayanya kita memenuhi keperluan mereka sebagai musafir. Hubungan tersebut berbentuk dua hala. Seorang tetamu akan berterima kasih dan menjaga nama baik dan tatasusila tuan rumah, yang mempunyai adab-adab yang tertentu dalam kehidupannya di rumah sendiri. Begitulah persefahaman yang wajar wujud antara rakyat Malaysia dan para pegawai dagang dari luar negara, saling memahami, hormat-menghormati sebagai dasar hubungan yang sihat dan selesa. Persefahaman yang sedemikian boleh diwujudkan tanpa langsung menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan penduduk Labuan.

Pergaulan bebas dan seks rambang adalah menyimpang jauh dari penghayatan nilai dan susila rakyat Malaysia, termasuk Labuan. Satu pemerhatian terhadap pertambahan pesat pusat-pusat hiburan dan rumah-rumah urut menghasilkan kebimbangan rakyat Labuan.

Adakah benar GRO yang ramai-ramai didatangkan itu HANYA melayan tenaga kerja dari negara asing? Adakah kajian mengenai GRO di Labuan boleh menafikan sebarang kaitan dengan perdagangan wanita yang tidak halal (women trafficking)? Adakah para pekerja di pusat-pusat hiburan tersebut dibenarkan untuk menyatakan dengan jelas dan benar tentang situasi di pusat-pusat tersebut?

Ibu bapa yang waras dan menyayangi anak-anak perempuan mereka sentiasa menginginkan yang terbaik buat anak-anak mereka. Kepimpinan yang sensitif dan bertanggungjawab akan menganggap mereka seperti anak-anak mereka sendiri yang memerlukan perlindungan. Begitulah hendaknya juga anggapan rakyat yang ihsan terhadap semua anak-anak perempuan di mana saja mereka berada, tidak kira dari mana asal-usul mereka. Maka jika demikian, adakah kita akan membenarkan anak-anak kita untuk berkarier dalam arena yang cenderung untuk mencabul kehormatan mereka pada bila-bila masa?

Janganlah nanti pulau Labuan dilanda musibah kerana memakmurkan apa yang tidak disenangi oleh nilai-nilai agama rakyat Malaysia.

Negara Malaysia wajar memperincikan prinsip Rukunegara yang yang pertama itu dengan menggesa rakyat Malaysia meneliti semula apa yang terkandung di dalam kitab masing-masing bagi menjalani kehidupan yang selamat di dunia ini.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?