Friday, October 13, 2006

 

Is there another choice?

Rencana

Memilih antara demokratik dan autokratik

Oleh: MOHMAD SHAID TAUFEK

SEORANG siswa berbincang dengan gurunya mengenai gaya kepimpinan. Sang siswa bertegas bahawa kepimpinan stail demokratik (participative) adalah lebih baik daripada stail autokratik (authoritative). Si guru, sesuai dengan peranan dan kedudukannya, sengaja memerangkap sang siswa supaya berfikir secara lebih kritis dengan mengatakan pendiriannya itu kurang baik.

Sang siswa berhujah bahawa pendiriannya itu lebih baik kerana ia mementingkan rasa kemanusiaan, timbang rasa dan sayang kepada anak buah. Apa yang lebih mulia dan terpuji dari itu - dari kemanusiaan, tegasnya. Si guru menjawab: ‘‘Pasti ada.’’ Setiap sesuatu ada banyak pilihan dan kadang-kadang ia berkedudukan bertentangan dan tidak semestinya tidak baik.

Siswa itu tidak puas hati lalu berkata bahawa stail demokratik melibatkan penyertaan dan pandangan anak buah. Mereka berasa dihargai, diajak berbincang dan menjadi sebahagian daripada jentera membuat keputusan. Ini akan mengukuhkan bukan hanya perhubungan dalam organisasi tetapi juga menimbulkan rasa taat setia dan perasaan sense of belonging yang kuat. Jadi di mana letaknya kelemahan stail itu, soalnya.

Si guru menjawab bahawa sungguh- pun gaya autokratik nampaknya keras, tetapi itu bukan bererti tiada perbincangan dan pertukaran pendapat. Cuma perbincangan itu lebih didominasi pemimpin berdasarkan andaian dan pendirian serta komitmen pemimpin itu sendiri. Dia tidak membebaskan perbincangan ikut selera berbagai andaian dan pendirian anak buahnya.

Sang siswa segera menghujah bahawa gaya itu jadinya adalah monodirectional, sering kasar - iaitu mengenepikan pandangan orang lain dengan mudah - dan tentunya perbincangan menjadi singkat berbanding gaya demokratik.

Maha guru tersenyum; jerat telah mengena. Betul, katanya, tetapi bukankah gaya autokratik itu lebih cepat, lebih efisien dan menurut kehendak satu pendirian dan satu paradigma yang tidak berubah-ubah! Di sebaliknya, gaya demokratik itu sering menyebabkan pemimpin berubah-ubah pendirian dan paradigmanya kerana kepelbagaian pendirian dan paradigma anak buahnya yang ramai itu. Ini menyebabkan dasar-dasar menjadi simpang-siur atau saling bertentangan. Akhirnya anak buah menjadi kelam-kabut, bingung dan berpecah belah. Kadang-kadang mereka jadi berontak.

Yang lebih penting lagi, kata maha guru itu, ialah pencapaian prestasi. Atas sebab-sebab di atas itu maka gaya autokratik lebih cepat, lebih berkesan dan lebih tepat memungkinkan pencapaian prestasi dan kemajuan. Gaya demokratik amat perlahan membuahkan hasil; kadang-kadang tidak mendatangkan hasil langsung kerana banyak sangat cekcoknya. Langsung maha guru bertanya, “Mana yang anda pilih, mahu yang berhasil cepat atau lambat?"

Sang siswa kurang yakin, lalu meminta penjelasan lanjut. Maha guru tersenyum lagi, menyedari sang siswa sudah mulai keliru. Seterusnya dia menjelaskan bahawa dua elemen ini - iaitu cara layanan terhadap pertimbangan kemanusiaan dan prestasi - adalah sentiasa bertentangan fitrahnya. Jika tinggi layanan diberikan kepada pertimbangan kemanusiaan, maka rendahlah pencapaian prestasi. Sebaliknya, jika rendah layanan diberikan kepada pertimbangan kemanusiaan, maka tinggilah pencapaian prestasi.

Sang siswa terasa kalah dalam perdebatan itu tetapi masih belum mahu mengakuinya, langsung mencabar maha guru bagaimana proses itu boleh terjadi. Maha guru segera menjawab. Katanya, dalam gaya demokratik pemimpin boleh menjadi patung, atau paling baik pun undecisive, kerana pengikut menjadi lebih kuat lantaran ramai dan banyak pendapat. Sebaliknya, dalam gaya autokratik, pemimpin menjadi pengukir patung. Tentulah pengukir lebih berkesan dari patung, katanya sambil ketawa kecil.

Sang siswa terasa malu alah tetapi bagi menutupnya dia terus lagi mencabar maha guru itu untuk membuktikannya. Mahaguru itu tersenyum lagi dan berkata ilmu pengurusan ini boleh diaplikasikan kepada situasi pengurusan kerajaan atau korporat mahupun juga politik. Hasilnya sama sahaja. Lihatlah pemerintahan Saddam Hussein yang dikatakan diktator itu. Ia lebih baik, berkemajuan dan berkesan serta memberi kemakmuran sekurang-kurangnya kepada sebilangan besar rakyatnya berbanding dengan pemerintahan di bawah naungan Amerika Syarikat. Sekarang ini yang dikatakan demokratik tetapi ia membawa kucar-kacir, kerosakan, bencana dan kemunduran kepada majoriti rakyat Iraq!

Sang siswa merasa tertekan lalu semberono menyoal maha guru sama ada kerana itu maka seseorang bos atau pemimpin itu mesti memilih stail autokratik. Tidak, jawab maha guru, tegas. Sang siswa bertambah bingung lalu terus sahaja bertanya, mengapa. Kerana, kata maha guru itu, kedua-dua gaya itu jika tidak digunakan dengan berhemah akan bermasalah dan membawa padah kerana kedua-duanya boleh disalahgunakan.

Dalam gaya demokratik, penyalahgunaan boleh berpunca daripada anak buah sendiri, terutama yang disayangi, manakala bagi autokratik, penyalahgunaan boleh berpunca daripada diri pemimpin itu sendiri.

Langsung maha guru bertanya: " Jadi, mana satu pilihan anda?"

- DATUK MOHMAD SHAID TAUFEK ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur.
utusan online
14/10/06


Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?